KUALA LUMPUR 29 April - Keadaan di dalam dewan solat Masjid Amru Al-As Bandar Baru Sentul yang menjadi lokasi ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah melafazkan sumpah laknat kecoh berikutan tindakan provokasi segelintir ahli Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan penyokong Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Sebaik sahaja selesai solat Jumaat, kumpulan itu dilihat cuba menggagalkan majlis lafaz sumpah laknat yang dijanjikan oleh Shazryl Eskay semalam berhubung klip video seks yang didakwa membabitkan seorang pemimpin kanan pembangkang.
Berikutan itu, beberapa anggota polis terpaksa masuk ke dalam masjid untuk menenangkan keadaan.
Pada masa sama, pengerusi masjid berkenaan, Abdul Razak Husin mengambil tempat di atas mimbar dan meminta orang ramai untuk bersurai.
Keadaan beransur tenang dan terkawal manakala orang ramai mula dilihat keluar dari dewan solat masjid.
Kira-kira pukul 3.30 petang, kelihatan pintu pagar masjid tersebut ditutup pihak polis dan hanya pintu belakang pagar masjid dibuka.
Tepat pukul 4.10 petang, ketiga-tiga Datuk Trio iaitu Shazryl Eskay, bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan bekas Bendahari Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Shuib Lazim tiba di pekarangan masjid dengan menaiki sebuah kereta Toyota Vios dan kenderaan pelbagai guna jenis Toyota Estima.
Sebaik Shazryl Eskay selesai melafazkan sumpah laknat tepat pukul 4.20 petang, beberapa orang dipercayai ahli AMK sekali lagi menimbulkan provokasi.
Bagaimanapun, pihak polis berjaya mengawal keadaan dan ketiga-tiga Datuk Trio itu dilihat meninggalkan pekarangan masjid kira-kira 4.30 petang.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika ditemui di masjid berkenaan memberitahu, beliau dihubungi oleh pihak pengurusan masjid berhubung hasrat Shazryl Eskay untuk melafazkan sumpah laknat di masjid berkenaan.
Katanya, pihak pengurusan masjid meminta bantuan pihak polis untuk membuat kawalan keselamatan dan memastikan keadaan di dalam serta pekarangan masjid terkawal.
"Walaupun berlaku sedikit kekecohan namun, kita berjaya meleraikannya dan tiada mana-mana individu ditahan berhubung insiden itu," katanya.
Kerang Laut:- AMK penyibuk! sepatutnya provokasi buatlah kepada DSAI. Barulah betul.
0 komen/ cadangan:
Catat Ulasan